Followers

Sunday, September 11, 2011

Cerpen : Pengantin Malam

JEFFREY merenung foto yang di ambil di hutan lipur sebulan yang lalu. Gambar itu agak kabur dan kurang memuaskan hatinya. Jeffrey lontarkan foto-foto tersebut ke dalam bakul sampah. Dia bersandar di kerusi sambil mengeluh panjang. Gelagatnya itu menjadi perhatian teman serumahnya, Dani. Terkebil-kebil Dani memandang Jeffrey. Apa lagi yang tidak kena dengan temannya yang seorang ini. Agaknya orang yang cintakan seni fotografi seperti Jeffrey ini memang cerewet.


            Jeffrey memicit kepala yang sakit memikirkan hobinya yang satu ini. Hari pertandingan hampir sampai ke penghujungnya. Dia masih tidak menjumpai gambar yang sesuai lagi. Dani langsung tidak membantu. Dani hanya sibuk dengan lukisan rekaan dalamannya. Bila diajak keluar sahaja pasti Dani akan menolak tidak seperti Zain yang asyik mengikut langkah kakinya menapak.

            Hari ini kelibat Zain tidak pula kelihatan. Barangkali Zain bertemujanji dengan teman wanitanya. Apabila sebut tentang teman wanita, Jeffrey mula terkenangkan Zalia kekasihnya yang curang berkahwin dengan lelaki lain. Sejak putus dengan Zahlia, dia bagaikan tidak mempercayai kasih seorang perempuan lagi. Sikap anti-perempuannya itu seringkali ditegur oleh Dani. Putus kasih hanya sekali tetapi sudah takut untuk mencuba untuk kali kedua. Manalah tahu jumpa gadis yang cintai sepenuh hati mahu separuh nanar si Jeffrey ini.

            “Aku nak ambil gambar sekali lagi. Kau boleh temankan aku tak?” Jeffrey mengalihkan pandangan pada Dani.

            “Jeff...gambar yang kau ambil itu dah cukup cantik. Kau obsess sangat nak menanglah. Kau kan dah banyak kali menang bagilah orang lain menang pula.” Desis Dani.

            “Aku nak menang untuk kali ini saja. Lepas ini aku nak stop jadi fotografi part-time ini. Aku nak tumpukan perhatian pada kerja aku di syarikat papa aku. Orang tua itu sudah bising sebab aku selalu ponteng kerja.”

            Papa kata kerjanya tidak berfaedah dan buang masa. Hobinya yang satu ini memang tidak disukai oleh papanya.

            “Maaf Jeff. Aku sibuk sangat kebelakangan ini. Kau ajak Zain temankan kau.” Apa boleh buat dia memang kejar masa untuk menyiapkan rekaan-rekaan untuk kliennya. Nahas dia kalau tidak dapat menyiapkan dalam tempoh masa yang diberi.

            “Kau kalau sibuk mengalahkan aku. 24 jam berkurung dalam rumah.” Rengus Jeffrey.

            Dani ketawa kecil. Jeffrey kalau bab membebel boleh tahan juga. Ala selalunya Jeffrey akan mengajak Zain sebagai teman.

            “Kau nak terjah hutan mana pula kali ini?” soal Dani.

            Jeffrey garu kepala yang tidak gatal.

            “Aku ingat mahu pergi ke hutan yang Zain tunjuk pada aku dulu. Hutan itu cantik dan ada sifat semulajadinya.” Jeffrey menggambarkan suasana tenang air terjun di situ. Hutan yang menghijau dan tumbuh-tumbuhan yang menyegarkan.

            Wajah Dani berubah.

            “Jeff...bukankah Zain kata hutan itu agak keras. Kau jangan memain benda-benda macam ini? Lain pula yang kau jumpa nanti.” Dani merasa tidak senang hati dengan destinasi Jeffrey.

            “Mengapa? Ada hantu ke? Come on Dani, zaman serba moden ini pun kau masih mengarut pasal benda tahyul macam itu ke?” Apalah si Dani ini percaya benda-benda karut itu semua. Selama ini dia tidak pernah berjumpa dengan makhluk yang dipanggil hantu itu.

            “Jeff...bukan kita sahaja yang menghuni di muka bumi Allah ini. Ada makhluk lain ciptaan Allah macam golongan jin yang kita tidak nampak dengan mata kasar. Kita harus mempercayai kewujudan jin ini.” Ini lagi satu sifat Jeffrey yang sukar ditangani. Keras kepala!

            “Kau jangan nak menakutkan aku dengan benda-benda karut ini semua.  Esok aku akan pergi ke hutan itu.” Suara Jeffrey nekad.

            “Kau memang degillah!” Marah Dani. “Aku nasihatkan kau jangan bermulut celupar di dalam hutan tu. Jaga-jaga!” Sempat Dani memberikan kata nasihat buat Jeffrey.

           
JEFFREY ada membaca satu artikel di internet. Cerita berhubung kepercayaan berhubungan dengan hutan. Umumnya manusia menganggap hutan sebagai tempat tinggal berbagai-bagai jenis binatang liar, jin dan jembalang. Warisan pemikiran masyarakat Melayu dikuatkan dengan beberapa dakwaan yang kononnya jika tidak mengikut adat atau tertib ke hutan, seseorang yang meneroka hutan akan ditimpa kesulitan seperti sesat di dalam hutan atau diresapi kuasa ghaib dan sebagainya.

Selain daripada menjadi tempat tinggal kumpulan syaitan, hutan juga merupakan daerah tempat pemasungan hantu. Dalam masyarakat Melayu, pawang adalah orang yang disegani. Kawasan hutan yang belum diterokai juga dianggap keras dan mempunyai berbagal-bagai rahsia dan kerenah yang tersendiri. Oleh itu kawasan-kawasan ini jika hendak diterokal haruslah melalui adat-adat yang tertentu. Maka atas anggapan dan kepercayaan ini, masyarakat Melayu pada masa dahulu telah membuat beberapa peraturan yang dikenali sebagai adat ketika berada di hutan.

Seperti disebutkan tadi, hutan rimba merupakan daerah atau tempat tinggal berbagai jenis binatang yang berbahaya kepada manusia. Binatang-binatang seperti ayam hutan, badak sumbu dan sebagainya dikatakan mempunyai badi. Sekiranya seseorang cuba menembak binatang tersebut, maka dipercayai ‘badi’ binatang itu akan menghinggapinya. Manusia yang terkena badi biasanya akan ditimpa kesulitan seperti sakit meracau, gila dan sebagainya. Sebagai jalan untuk mengelakkan manusia yang pergi ke hutan daripada terkena badi tersebut, maka beberapa peraturan tertentu diwujudkan. Peraturan inilah yang dikenali sebagai adat ke hutan.

Mengarutlah! Dia buka blog ini pun kerana Dani. Dani ini banyak songeh betul.  Dia masuk hutan hanya kerana mahu mengambil gambar bukan untuk berburu binatang dalam hutan itu.

SETELAH hampir tiga jam dalam perjalanan, Jeffrey dan Zain sampai destinasi yang di tuju. Jeffrey segera mengeluarkan beg dan peralatan yang di bawa dari pajeronya dibantu oleh Zain. Mereka akan berkhemah di sini selama 3 malam. Pedih telinga Jeffrey mendengar amarah papa bercuti tanpa pengetahuannya. Jeffrey telah berjanji ini adalah terakhir dan selepas ini dia akan menuruti kehendak papanya menerajui syarikat besar itu. Zain ada menyatakan mahu membawa dua atau tiga orang asli yang tinggal berdekatan namun Jeffrey menolak. Mereka berdua sudah cukup katanya.

Khemah didirikan agak berdekatan dengan kawasan air terjun. Jeffrey mengesatkan peluh dingin di dahi. Dia mengetap bibir sambil memandang sekeliling. Hutan ini sungguh cantik dengan keindahan semulajadinya. Bunyi kicauan burung menarik perhatian Jeffrey. Zain masih sibuk menyusunkan barang di dalam khemahnya. Dia tidak mengendahkan Jeffrey yang sudah mengaturkan langkah sendiri dengan kamera di tangan. Jeffrey tidak akan pergi jauh. Hari pun sudah lewat petang.

Telinga Jeffrey menangkap bunyi gemersik suara perempuan yang sedang menyanyi. Tandan dahinya berkerut. Dia tidak salah dengarkah? Zain kata tiada orang yang menghuni hutan ini. Jadi dari mana datangnya suara perempuan menyanyi itu? Atas ada sifat ingin tahu, Jeffrey cuba mencari di mana datangnya suara nyanyian perempuan itu. Langkah Jeffrey kian jauh meninggalkan tapak perkhemahannya tanpa disedari oleh Zain. Suara itu menambat hati Jeffrey. Sungguh merdu.

Langkah Jeffrey mati sebaik saja dia menghampiri kawasan air terjun itu. Matanya tertacap susuk tubuh seorang wanita yang sedang duduk di atas batu besar sambil mengelus rambutnya yang panjang mencecah pinggang.

            Ya Allah! Perempuan itu memang cantik sekali. Wajahnya putih bersih tanpa sebarang sentuhan solekan. Senyumannya cukup memukau hati Jeffrey hingga dia tidak teragak-agak mendekati gadis terbabit. Lensa kamera di halakan pada gadis yang sedang bermain dengan kocakkan air itu. Cantik memang cantik! Jeffrey mula taksub tanpa menghiraukan risiko yang bakal dihadapinya. Sebatang tangan menepuk bahunya dari belakang lalu dia disergah. Jeffrey tersentak hingga dia hilang keseimbangan lalu tergelincir jatuh dari tempat dia berdiri. Tubuhnya melayang ke dalam air terjun terbabit. Mujur saja dia tidak jatuh di permukaan air yang dalam.

            Suara tawa membingitkan telinga Jeffrey. Dia merengus kasar. Kurang asam punya Zain. Dia sedang khusyuk mengambil gambar disergah dari belakang. Jerffry naik ke darat dibantu oleh Zain. Dia segera memeriksa kameranya yang mahal itu. Harap-harap tidak rosak gambar yang diambil tadi. Kalau tidak memang Zain akan kena belasah dengannya. Jeffrey menarik nafas lega. Gambar yang diambil masih dalam keadaan yang baik.

            Jeffrey berpaling semula ke arah tempat perempuan itu duduk tadi. Perempuan itu sudah tiada. Ajaib! Barangkali perempuan itu sudah menyedari dirinya diintip. Jeffrey menggigit bibr. Siapakah agaknya gerangan perempuan cantik itu?

            “Jeff...hari sudah senja kau masih mahu berkeliaran dalam hutan ini. Esok-esok saja pun kau mahu ambil gambar.” Mata Zain meliar sekeliling. Rasa seram semacam pula keadaan di sini.

            “Aku ada nampak perempuan cantik kat sini tadi? Takkan kau tak dengar suara perempuan menyanyi kot?”

            “Perempuan cantik? Kau gila ke Jeff? Mana orang tinggal dalam hutan belantara ini. Kawasan penduduk orang asli itu pun dua kilometer dari sini. Mata kau sudah rabun agaknya?” gerutu Zain.

            “Aku tak tipulah. Betul ada perempuan cantik tadi. Aku boleh tunjukkan gambarnya pada kau.” Ujar Jeffrey beria-ia.

            “Apa-apa pun kita balik khemah dulu. Hari sudah senja ni. Karang ada ada benda lain pulak yang menunggu.” Zain terus menarik lengan Jeffrey. Dia mula tidak sedap hati mendengar cerita Jeffrey tadi.

            “Kau pun sudah pandai mahu membebel macam mak nenek.” Getus Jeffrey lalu segera membuntuti Zain.


JEFFREY tidak dapat tidur dengan tenang malam itu. Pusing kanan tidak selesa. Pusing kiri pun tidak selesa.  Zain disebelah sudah lena dibuai mimpi indah. Fikirannya asyik terbayangkan wajah perempuan cantik itu. Dia bingkas bangun dan keluar dari khemah. Jeffrey membawa kameranya sekali. Dia duduk berdekatan dengan unggun api.

            Hairan? Bagaimana gambar perempuan itu tiada di dalam kamera sedangkan memang dia ada mengambil gambarnya. Jeffrey membuka kameranya semula. Raut wajah Jeffrey berubah. Gambar perempuan itu ada semula di dalam kameranya. Jeffrey memeriksa semula kamera berkenaan. Tiada pula yang rosak. Lantaklah! Janji gambar ini akan dia hantar untuk pertandingan itu nanti.

            Jeffrey...Jeffrey...Jeffrey...ada bisikan halus memanggilnya. Jeffrey tersentak. Dia menggosokkan matanya berulang kali Benarkan apa yang dia lihat depan matanya itu. Seorang perempuan cantik berkebaya putih berdiri bersebelahan pokok besar itu. Bibir yang merah merekah itu mengukir senyuman manis buat Jeffrey.

            Jeffrey bangun dari duduknya lalu merapati perempuan cantik itu. Haruman ditubuh perempuan itu menusuk ke dalam lubang hidung. Wangi! Jeffrey terus merenung perempuan cantik itu. Hatinya berdebar kuat. Perasaan apakah ini?

            Perempuan itu menghulurkan tangannya kepada Jeffrey. Jeffrey menyambutnya tanpa ada rasa ragu di hati. Mereka berjalan beriringan di dalam kepekatan malam. Sayup-sayup bunyi burung hantu kedengaran. Mata si burung hantu liar memerhatikan keadaan hutan belantara itu.

            “Saudari....” Jeffrey memulakan bicara sebaik sahaja mereka berada di tepian air terjun itu. “Bagaimana saudari boleh tahu nama saya?”

            Perempuan itu hanya tersenyum manis. Dia mengusap-usap lembut wajah Jeffrey hingga Jeffrey dibuai rasa gelodakan asmara. Jeffrey merebahkan kepalanya pada riba perempuan itu. Dia merenung wajah perempuan itu di sebalik bulan yang terang. Kenapa perempuan ini cantik sangat bagaikan bidadari.

            “Nama saya Suri.” Dia bersuara. Jemari runcingnya terus-terusan mengelus rambut Jeffrey.

            Suri? Namanya Suri.

            “Suri tinggal di mana? Kawan saya cakap dalam hutan ini tiada rumah orang.”

            Suri tertawa kecil.

            “Suri sudah bertahun-tahun tinggal di sini. Jauh dari menyisih dari orang lain.” Balasnya lembut.

            “Suri tinggal dengan siapa?”

            “Suri tinggal sendirian. Suri sudah tiada sesiapa. Kalau Suri mahu ikut Jeffrey boleh?”

            Jeffrey angkat kepalanya dari ribaan Suri.

            “Kenapa Suri nak ikut Jeffrey?”

            “Suri sukakan Jeffrey.”

            Jeffrey mengerutkan dahi.

            “Suri baru kenal saya.”

            Suri menganggukkan kepalanya.

            “Suri nampak abang terus Suri sukakan Jeffrey. Jeffrey pun sukakan Suri kan? Suri mahu jadi pengantin Jeffrey.”

            Jeffrey termangu. Fikirannya kabur. Dia langsung tidak memikirkan secara logik tentang Suri yang berada di dalam hutan belantara tu sendirian. Jeffrey telah terpukau dengan kejelitaan Suri. Suri melirikkan senyuman sinis di hujung bibir.

            Suri memeluk tubuh Jeffrey yang sudah seakan seperti orang yang dipukau itu. Matanya mula berubah menjadi kemerah-merahnya. Dia membuka mulut menayangkan sepasang taringnya yang runcing. Taring itu dibenamkan pada leher Jeffrey. Suri ketawa mengilai. he...he...he...he...

            Perubahan pada Jeffrey pagi itu turut dirasai oleh Zain. Jeffrey seperti orang dilamun cinta. Kata-kata Jeffrey tidak dapat diterima akal Zain. Semalam Jeffrey kata bertemu dengan perempuan cantik. Hari ini pula Jeffrey kata dia mahu berkahwin dengan perempuan tersebut. Tidak pelikkah namanya itu. Malah Jeffrey beria-ia mahu mengajaknya pulang kerana tiada apa lagi yang dia perlukan pada hutan itu. Dia sudah menemui apa yang dicari.
           
DANI merenung wajah Jeffrey yang sedang berbaring di atas katilya. Dia merasa pelik sekali dengan sikap Jeffrey sejak teman itu pulang dari hutan tersebut. Jeffrey juga sering merenung dan bercakap sendirian dengan gambar ditangannya. Gambar seorang perempuan cantik tetapi pada Dani gambar itu seperti amat menakutkan dia. Renungan perempuan itu meremangkan bulu roma Dani.

            Zain ada bercerita yang Jeffrey ada berkenalan dengan seorang perempuan cantik di dalam hutan itu. Zain turut berasa hairan kerana setahu dia tiada orang yang tinggal di dalam hutan tersebut mengikut kata penduduk kaum asli berdekatan. Namun ada cerita tidak enak yang Zain dengari dari temannya di situ. Teman Zain bercerita tentang hantu bernama langsuir yang menghuni kawasan hutan terbabit. Mereka pernah juga diganggu langsuir itu ketika mencari kayu dan herba-herba. Kata mereka makhluk itu pandai menyamar menjadi perempuan yang sangat cantik.

“Aku berkenalan dengan dia dalam hutan masa aku buat shoot fotografi.” Jeffrey bercerita.
           
“Kau biar betul Jeff?” Wajah Dani mula cuak.

“Kau pun buat cuak macam Zain. Nama dia Suri. Dia anak yatim piatu dan tinggal sendirian. Aku hendak berkahwin dengan dia.” Muka Jeffrey begitu serius mengatakan keinginannya. Saban malam Suri akan hadir untuk melawatnya.

“Kau sudah gila agaknya, Jeff. Cuba kau fikir guna otak sedikit. Mana ada orang nak tinggal sendirian dalam hutan belantara macam itu? Entah-entah dia itu hantu? Zain ada bercerita pasal langsuir dengan aku. Dulu dalam hutan itu ada seorang gadis kena rogol dan kena bunuh. Orang kata mayatnya tidak ditemui.” Hati Dani dilanda gusar. Dia amat yakin Suri itu bukan manusia.

“Aku tak gilalah. Apa yang kau merepek kata Suri tu langsuir. Kau tak tahu apa-apa tentang dia!” Jeffrey mula meradang.

“Aku bercakap benda yang betul. Buka mata kau luas-luas Jeff!” Dani menggocangkan tubuh Jeffrey.

“Sudahlah! Kau ni sama sahaja macam Zain.” Jeffrey bingkas bangun dan meninggalkan biliknya.

Dani menarik nafas panjang. Dia tetap yakin gadis yang bernama Suri itu bukan manusia. Suri telah mengaburi mata Jeffrey.

MALAM itu Dani dan Zain mengintip tempat pertemuan Jeffrey dan Suri. Jeffrey hanya aan bertemu dengan Suri pada waktu malam sahaja. Taman terbiar itu memang sunyi dan sepi apabila malam menjelang. Mereka perlu mencari mengesahkan yang Suri bukan manusia tetapi langsuir.

            Jeffrey kelihatan sedang berdiri sambil memeluk tubuh yang kesejukkan disapa angin malam. Dani dan Zain masih berada di tempat persembunyian mereka. Mata mereka terbelak besar melihat sekujur tubuh berpakaian putih melayang-layang ke arah tempat Jeffrey berdiri. Itulah Suri, perempuan jelita yang dikatakan oleh Jeffrey. Jelita? Wajah Suri yang begitu menakutkan itu Jeffrey katakan jelita. Jeffrey memang sudah gila! Wajah Suri cukup hodoh serta meloyakan tekak Dani dan Zain. Gigir taringnya yang tertonjol keluar itu menggerunkan sekali.

            Bau busuk seperti bangkai menusuk ke lubang hidung Dani dan Zain. Mual anak tekak. Mereka rasa mahu termuntah.

“Suri sayangkan abang.” Suri memeluk tubuh lesu Jeffrey. Taringnya dibenamkan pada leher Jeffrey. Jeffrey pula kelihatan seperti tidak sedar diri. Pandangan matanya kosong.

            Apa yang dilakukan oleh Suri menjadi intipan Dani dan Zain. Zain menekup mulutnya. Bagaimana mahluk itu boleh berada di sini? Mereka tidak dapat membantu Jeffrey waktu ini.

            “Perempuan itu hantu! Bagaimana Jeff hendak berkahwin dengan hantu itu pulak?” Dani mengusapkan dagu.

            “Macam mana kita nak sedarkan Jeff? Dia sudah gilakan hantu perempuan itu.” Zain sudah tidak sedap hati melihat Jeffrey dengan langsuir itu. Darah Jeffrey jadi makanannya. Kalau mereka berkahwin lagilah tidak masuk dek akal fikiran ini. Manusia berkahwin dengan hantu.

            “Aku akan cuba usahakan apa yang termampu. Aku tak akan biarkan hantu tu makan Jeff.”

            “Tapi kita mahu minta tolong siapa? Papa dia percaya ke cakap kita nanti?”

            Dani merenung wajah Zain.

            “Aku akan minta tolong dengan pakcik aku.”

            “Maksud kau Haji Ishak.”

            Dani mengangguk laju.

            Jeffrey terpukau dengan belaian asmara dari Suri. Wajah hodoh Suri tidak terpamer di depan mata Jeffrey seperti Dani dan Zain. Bau busuk pada tubuh Suri adalah wangi pada Jeffrey. Jeffrey mengelus rambut panjang Suri yang hampir mencecah hingga ke punggung itu.

            “Abang...Suri mahu jadi pengantin abang malam ini. Kita kahwin ya.” Ucap Suri manja.

            “Tapi Suri...”

            “Abang cintakan Suri tak? Kalau abang cintakan Suri kita kahwin malam ini juga. Atuk angkat Suri kata kita harus berkahwin pada malam keliwon. Suri tidak boleh tunggu lagi bang.” Suri memujuk. Suri merenung ke dalam anak mata Jeffrey.

            “Suri kata Suri tinggal sendirian.”

            “Suri memang sendirian tapi Suri ada atuk angkat di kampung sebelah. Suri lupa mahu memberitahu abang. Abang setujulah...” Suri merengek.

Jeffrey mengganggukkan kepada bersetuju dengan permintaan Suri itu. Jeffrey tidak
mampu berfikir panjang lagi. Masakan papa akan menerima gadis tidak berketurunan seperti Suri yang tinggal terperuk dalam hutan. Jeffrey ingin membuktikan cintanya pada Suri. Suri bukan seerti Zalia yang hanya manis bermain kata dan tidak jujur dengan cinta.

            “Suri bawa abang jumpa atuk angkat Suri.” Suri sudah tersenyum manis. Jeffrey sudah berada di dalam genggamannya. Lelaki seperti Jeffrey memang mudah diperdaya. Apa yang dia mahukan dari Jeffrey hanyalah darah.

            “Kita kahwin malam ini.” Jeffrey dan Suri berbalas senyuman.

            Suri mengerling ke arah tempat persembunyian Dani dan Zain. Dia tahu kedua teman baik Jeffrey menghendap mereka. Hilaian tawa Suri mengejutkan Dani dan Zain. Suri melayang ke udara bersama Jeffrey. Kelibat Jeffrey dan Suri hilang dari pandangan mata Jeffrey.

            Dani dan Zain tersentak. Mereka segera melangkah keluar dari temppat persembunyian mereka. Dani dan Zain saling berpandangan.

DATUK Abu Bakar seakan tidak percaya mendengar cerita dari mulut Dani dan Zain. Jeffrey sudah dua hari menghilangan diri. Laporan polis telah dibuat. Hasilnya masih di dalam jalan buntu. Datuk Abu Bakar lelaki serba moden masakan akan mempercayai cerita dari Dani dan Zain.

            “Kau kata anak aku nak berkahwin dengan hantu?”

            Dani dan Zain anggukkan kepala serentak.

            “Dani...ini bukannya drama atau filem di panggung. Sukar pakcik nak mempercaya cerita begini.” Datuk Abu Bakar menarik panjang.

            “Sama ada pakcik percaya atau tidak pakcik kena ikut kami mencari Jeffrey d hutan itu. Nyawa Jeffrey dalam bahaya!”

            “Kamu jangan mempermainkan pakcik?”

            “Kami tidak bermain-main dengan pakcik. Jeffrey kawan baik kami.” Celah Zain yang asyik mendiamkan diri melihat Dani menyakinkan Datuk Abu Bakar.

            Muka serius Dani dan Zain tidak seperti mereka bermain kata. Antara percaya atau tidak Datuk Abu Bakar terpaksa menerima cerita kedua-dua teman anak lelakinya itu. Apa yang dia risaukan adalah keselamatan Jeffrey.

MALAM itu Dani, Zain, Datuk Abu Bakar, Haji Ishak dan beberapa orang penduduk orang asli meredah hutan terbabit. Mujurlah Dani sempat bertemu dengan bapa saudaranya sebelum pakciknya itu berangkat pulang ke kampung. Rasa seram di kawasan hutan terbabt membuat bulu tengku Dani dan Zain meremang. Sayu-sayup kedengaran bunyi burung hantu.

            Haji Ishak behenti melangkah. Lelaki awal 50-an itu seakan dapat merasakan sesuatu di pokok besar berhadapan dengan mereka itu. Dia memalingan kepalanya ke arah Dani. Dani seakan mengerti dengan isyarat yang Haji Ishak berikan. Dia mendekati bapa saudaranya itu.

            “Di sini ke pakcik?”

            Haji Ishak anggukkan kepalanya. Datuk Abu Bakar mengerutkan dah melihat reaksi Dani dan Haji Ishak. Kenapa dengan pokok besar terbabit? Dia lihat pokok tu biasa sahaja. Tiada yang luar biasanya. Dani berpaling dan mendekati Datuk Abu Bakar.

            “Pakcik...Jeffrey disembunyikan di pokok ini.”

            “Kau biar betul Dani. Pakcik tengok pokok tu biasa saja.”

            “Sabar pakcik. Kita tunggu dan lihat nanti. Pakcik saya sedang usahakan untuk kembalikan Jeffrey semula.” Dani menepuk lembut bahu Datuk Abu Bakar. Selepas ini Datuk Abu Bakar akan tahu apa yang berlaku nanti.

            “Kau buat pakcik takut.”

            “InsyaALLAH Jefrrey akan selamat. Sama-sama kita berdoa.”

            Haji Ishak memulakan langkah utamanya. Bibirnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat Al-Quran.

            Jeffrey semakin hanyut dengan belaian manja Suri. Dalam dunia khalayan yang diciptaan oleh Suri dia adalah suami kepada Suri. Mereka telah berkahwin. Jeffrey sudah lupa pada kehidupan realitinya. Dia tidak kisah jika Suri menghisap darahnya. Dia rela memberikannya kerana da mencintai Suri.

            Suri mula merasa tidak selesa. Dia menolak tubuh Jeffrey yang kian susut itu menjauhi dirinya. Tekaknya panas. Seluruh tubuhnya merasa panas. Suri mula mengerang kesakitan. Dia mula menjadi tidak tentu arah. Gelagatnya menjadi perhatian Jeffrey.

            “Kenapa ni sayang?” soalnya. Dia merapati Suri. Wajah jelita Suri seakan terbakar.

            “Panas! Panas! Suri panas bang! Ada orang mahu bunuh Suri. Dia mahu pisahkan kita!” Sur mencengkam pergelangan tangan Jeffrey.

            Panas! Benar kata Suri yang tubuhnya memang panas. Jeffrey mengetap bibir. Siapa pula yang mahu memisahkan dia dengan Suri? Ini mesti kerja Dani dan Zain. Dia tidak akan berpisah dengan Suri. Suri sudah menjadi isterinya malam ini.

            “Panas! panas!” Suri menolak tubuh Jeffrey dan meluru keluar.

            “Suri!” Panggilan Jeffery sudah tdak endahkan lagi.

            Haji Ishak semakin menguatkan lagi bacaannya. Dengan tidak semena-mena Suri menjelma di hadapan Haji Ishak. Wajahnya menyeringai kemarahan. Lelaki tua ini telah mengganggu ketenteramannya. Wajah ngeri Suri menjadi tatapan mata Datuk Abu Bakar dan yang lain. Inikah perempuan yang buat anaknya gila bayang itu? Perempuan ini bukannya manusia.

            “Pulangkan dia semula kepada kami.” Suara Haji Ishak. Dia cuba berunding secara lembut dengan Suri.

            “Tidak! Dia suamiku! Dia makananku!” Suri berkeras. Matanya merah menyorot ganas ke arah Haji Ishak. Suri terbang melayang-layang mengelling Haji Ishak.

            “Dia bukan hak kau. Kau yang mengaburi mata dia.” Haji Ishak masih berlembut.

            Suri ketawa mengilai.

            “Aku sudah katakan yang dia adalah kepunyaanku. Dia yang rela mengikut aku!” Suri sudah berhadapan dengan Haji Ishak. “Nyah! kamu semua dari sini! Jangan ganggu kami!” Suri membentak.

            “Kamu masih mahu berdegil?” soal Haji Ishak.

            “Orang tua! Aku sudah kata yang aku tidak akan pulangkan lelaki itu kepada kamu! Dia yang datang kepada aku!”

            “Kau bukan manusia! Jeffrey tidak boleh berkahwin dengan kau!” Getus Zain.

            Suri mengalihkan pandangan matanya ke arah Zain.

            “Jangan menyibuk dalam urusan aku!” Entah bila dia merapati Zai. Zain jatuh terduduk. Bau busuk dari Suri tidak mampu ditahan. Loya anak tekak. Ditambah pula dengan rupa Suri yang cukup ngeri dan hodoh itu.

            Suri cuba menerkam Zain namun ditahan oleh Haji Ishak. Haji Ishak meneruskan bacaan dengan kuat melihat pada Suri yang masih berdegil. Suri mula menjert-jerit kepanasan. Dia terbang hinggap pada sebatang dahan pokok.

            “Hentikan bacaan kau orang tua!” Pekiknya.

            Haji Ishak tidak mempedulikan jeritan Suri. Dia tidak akan mengalah dengan makhluk itu.

            “Hentikan!” Wajah Suri mula melencur dan terbakar. Dia menggelupur hingga jatuh menyembah bumi.

            Panas! Panas! Panas! Suri mula memanggil-manggil nama Jeffrey. Jeffrey yang tidak kelihatan di mata itu tadi mula menjelma sedikit demi sedikit. Jeffrey ingin meluru ke arah Suri yang terbakar namun dipaut oleh Dani dan Zain. Jeffrey meronta-ronta kuat. Tenaga hampir membuatkan Dani dan Zain tidak mampu bertahan. Mujur Datuk Abu Bakar dan beberapa orang asli itu membantu mereka.

            “Jeffrey…” Suri menyeru sayu nama Jeffrey sebelum hilang dari pandangan mereka.

            Haji Ishak merapati Jeffrey. Ayat-ayat suci Al-Quran masih kedengaran dari bibirnya. Jeffrey harus dipulihkan dari mimpi indahnya bersama Suri. Rontaan Jeffrey kian lemah. Dia terkulai layu tidak sedarkan diri selepas itu.

            “Alhamdulillah…segalanya telah selesai.” Ujar Haji Ishak.

            “Anak saya tidak apa-apa ke tuan haji?”

            “Jangan bimbang. Dia akan pulih nanti.”

            Datuk Abu Bakar menarik nafas lega. Bagaimana Jeffrey boleh terperangkap dengan cinta syaitan? Mereka beramai-ramai mengangkat tubuh Jefrrey untuk di bawa pulang.

KEADAAN Jeffrey semakin pulih. Dia tidak dapat mengingati apa yang berlaku pada dirinya. Apabila Dani menceritakan segalanya, Jefrrey diam tidak terkata. Dia berkahwin dengan wanita yang bukan manusia. Wanita bernama Suri itu adalah makhluk yang menghuni hutan berkenaan. Makhluk yang dahagakan darah manusia sepertinya. Jeffrey memeluk tubuh. Bagaimana dia boleh terkena tipu daya makhluk itu?

            “Terima kasih kerana membantu aku, Dani dan kau juga Zain...terima kasih banyak-banyak.” Suara Jeffrey lemah.

            “Jeff...kitakan kawan. Lagipun masakan aku akan membiarkan makhluk itu makan kau. Jadikan ia sebagai satu pengajaran buat kau. Jangan pandang atas apa yang orang perkataan. Ada sesetengah perara itu harus untuk kita mempercayainya.” Dani memeluk bahu Jeffrey.

            “Betul cakap Dani tu. Apa yang penting semuanya sudah selamat. Kalau kau nak sangat awek aku boleh tolong adjustkan adik Dani. Kau kenal si Husnina kan?” Zain menangkat keningnya.

            Dani mula mengerling Zain dengan ekor matanya. Zain jangan sengaja mahu mencari pasal dengan dia.

            “Apa salahnya alau Dani sudi menerima aku jadi adik ipar dia.”Jeffrey turut mengiat Dani. Mereka sememangnya tahu yang Dan amat sayangkan adiknya.

            “Malas aku nak layan korang berdua.” Dani bingkas bangun diikuti oleh Jeffrey dan Zain.

            Jeffrey dan Zain ketawa kecil. Mereka terus-terusan mengusik Dani.

Tamat

3 comments: