Followers

Monday, December 27, 2010

KISAH 1_TETAMU MALAM -BAB 1

“SYED! You tak balik lagi?” tegur Umar teman sekerjanya. Syed hanya tersenyum.
            “Aku perlu siapkan rekaan aku hari ini juga. Kau macam tidak kenal dengan Puan Sofiya. Dia agak cerewet memilih memilih rekaan untuk bilik tidurnya.”
            “Dia minta tukar lagi ke?”
            Syed anggukkan kepalanya. Kebelakangan ini dia sering pulang lewat malam dari pejabat. Dia tidak suka membawa kerja dari pejabat ke rumah.
            “Klien mestilah kena jaga.”
            “Sekali-sekala kau kena tegas juga dengan klien kita. Kesihatan kena jaga. Aku tengok kebelakangan ini kau kuat bekerja.” Umar menepuk-nepuk bahu teman sekerjanya itu. “Aku balik dulu.”
            “Okay! Kita jumpa esok.”
            “Berhati-hati. Jangan sampai kau jumpa hantu malam ini.” sempat Umar mengusik Syed sebelum menghilang di balik pintu.
            Syed gelengkan kepala seraya tersenyum kecil.  Dia kembali menghadap komputer depan matanya itu. Adakalanya dia risau juga dengan adik perempuannya di rumah. Dia pulang lewat malam. Dia sebagai seorang abang harus menjaga keselamatan adiknya itu. Amanah dari arwah ibu masih segar dalam ingatan Syed.
Syed menarik nafas lega sebaik sahaja melihat kertas lukisan di hadapan matanya itu telah siap dilakarkan. Dia yakin kliennya pasti akan berpuas hati dengan rekaan kali ini. Bukan senang mahu menangani kerenah klien yang cerewet. Syed menutup komputer berjenama Apple itu. Dia mengemaskan barang-barangnya ke dalam beg galas.
Sunyi sepi di kawasan tempat letak kereta itu. Tiada kereta lain di situ melainkan keretanya dan sebuah kereta Volkswagen berwarna merah. Syed mengerutkan dahi. Dia tidak pernah pula melihat Volkswagen berwarna merah itu sejak dia bekerja di sini.
Bunyi tapak kasut orang berlari di tempat letak itu mengejutkan Syed. Seorang gadis ayu termengah-mengah berlari menyorok di belakang Syed. Syed tersentak. Siapa pula gadis ayu ini?
“Tolong Encik! Ada sekumpulan lelaki mengejar saya.” suara gadis itu separa merayu. Ada bunyi esakkan tangisan dibelakangnya.
Syed berpaling. Dia lihat ada koyakkan pada bahu baju gadis terbabit. Dia buka baju sejuknya lalu disarungkan pada tubuh gadis itu.
“Seorang gadis tidak manis keluar malam-malam begini. Mari saya hantarkan kamu balik.”
“Tapi…bagaimana dengan kereta saya?” Gadis itu melirik pada kereta Volkswagen berwarna merah itu.
“Itu kereta kamu?” soal Syed. Gadis itu anggukkan kepalanya. Syed diam sejenak sambil mengusap-usapkan dagunya. Dia rasa tidak sedap namun memikirkan keadaan gadis itu, dia buangkan segala prasangkanya.
“Kalau begitu esok saja saya ambil kereta saya. Tapi…saya takut mahu pulang ke rumah dalam keadaan saja begini. Boleh saya menumpang di rumah awak malam in?” Gadis itu bersuara.
“Ermmm…baiklah.” Tanpa rasa ragu-ragu, Syed membawa gadis itu masuk ke dalam ke dalam keretanya. Gen 2 berwarna maroon itu bergerak meninggalkan kawasan tempat letak kereta tersebut.

SYED memerhatikan gadis di sebelahnya itu dengan ekor mata. Gadis itu ayu dan dia memiliki sepasang masata yang jernih. Tapi apa yang dibuat pada lewat malam begini di luar seorang diri? Dia tidak nampak pula lelaki yang mengejar gadis itu tadi. Ada juga timbul kemusykilan di hari Syed. 
            “Awak tinggal dengan siapa?” suara lunak gadis itu memecah kesunyian.
            “Saya ada adik perempuan. Sejak mak dan ayah saya tiada, kami hanya tinggal dua-beradik sahaja.” jelas Syed.
            “Begitu…” Senyuman manis masih tidak lekang dari bibir comel gadis itu. “Nama saya Daliana. Nama awak?”
            “Saya Syed Fairuz.”
            “Anak keturunan Syed rupanya. Awak ni boleh tahan kacaknya ya.” Gadis itu tampak seorang yang ceria. Tanpa diduga dia memaut jemari kasar Syed. Syed meretap perlahan. Raut wajahnya berubah. Tangan gadis bernama Daliana itu sejuk sekali seperti ketulan ais.
            Daliana ketawa kecil melihat gelagat Syed. Syed seperti seorang lelaki yang baik-baik.
Kereta yang dipandu oleh Syed masuk ke pengarangan rumah teres dua tingkat itu. Syed mengerling jam tangannya. Pukul tiga pagi. Dia mengeluh kecil. Pasti adiknya Amelia sudah beradu di atas tilam empuknya. Ruang  tamu rumahnya gelap-gelita. Syed mengeluarkan kunci rumah dari poket seluarnya. Dia mempersilakan Daliana masuk setelah membuka pintu dan menyalakan lampu di ruang tamu itu.
            “Sekejap ya. Saya panggil adik saya.” Syed meluru naik ke tingkat atas.
            Pintu bilik adiknya diketuk bertalu-talu. Syed tersenyum melihat adiknya yang kini terpacak di muka pintu. Gadis itu menggosok-gosokkan matanya. Wajahnya mencuka.
            “Abang ni! Kacau Lia nak tidurlah.” gerutunya.
            “Abang ada bawa tetamu malam ini. Perempuan…”
            “Bila pula abang pandai bawa perempuan balik rumah ni?” Amelia mencebik. Syed mengusap-usap rambut panjang Amelia yang serabai itu.
            “Abang hanya menolong dia saja. Dia mahu menumpang di rumah kita hanya satu malam. Lagipun kesian tengok dia.”
            “Okay-okay.” Amelia membuntuti Syed. Dia tersentak melihat gadis yang sedang duduk di atas sofa ruang tamu mereka. Amelia seakan pernah melihat wajah gadis itu.
            Daliana melemparkan senyuman manis pada Amelia. Amelia membalas. Entah mengapa dia merasa bulu romanya meremang apabila melihat senyuman Daliana itu. Dia merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena. Amelia mengalih pandang pada abangnya. Abangnya itu tampak biasa dan tidak merasa apa-apa yang pelik pada gadis terbabit.
            “Daliana….kenalkan ini adik saya Amelia.”
            “Maaf kerana mengganggu malam-malam begini.”
            “Tidak mengapa.” Amelia sedaya mungkin memaniskan muka. “Duduklah dulu. Saya siapkan bilik untuk awak.” Amelia bingkas naik semula ke tingkat atas.
            Amelia mengintai di balik dinding. Entah mengapa dia tetap merasa tidak sedap hati dengan tetamu abangnya itu. Amelia tersentak apabila Daliana mengalihkan pandangan ke arahnya. Renungan mata tajam Daliana sunguh menakutkan. Amelia segera berpaling. Siapakah Daliana itu? Amelia menelan air liur.
            Secawan kopi panas di letakkan atas meja tamu itu. Amelia tidak berani untuk menatap wajah Daliana. Reaksinya diperhatikan oleh Syed. Syed menarik lengan Amelia menuju ke ruang dapur.
            “Lia…kenapa ni. Abang lihat Lia macam takut-takut saja.”
            “Abang…Lia rasa tak sedap hatilah. Daliana tu lain macam aje. Lia rasalah kan dia…dia itu…” Amelia mencurahkan kegusaran di hatinya.
            “Apa Lia merepek ni. Abang tengok Daliana biasa aje. Tiada apa-apa pun yang mencurigakan. Lagipun dia dalam kesusahan. Jangan fikir yang bukan-bukan.” Syed mengetuk perlahan kepala adiknya.
            “Tapi abang…”
“Sudah-sudah. Jangan mengarut lagi.” Potong Syed. Sekali lagi dia mengetuk kepala Amelia dengan buku lima. Amelia mengetap bibir. Syed berpaling bila terasa bahu disentuh lembut.
“Apa yang dibincangkan itu?” Daliana muncul mengejut di hadapan mereka. Syed mengurut dada.
Amelia dikerling dengan ekor mata. Dia mula merapati Syed dan Amelia.
“Tiada apa-apa.” balas Syed lembut.
“Boleh saya ambil segelas air kosong.” pinta Daliana.
“Silakan.”
Daliana melintasi Amelia. “Aku tahu kau sudah tahu siapa aku kan.” ujarnya perlahan.
Amelia tersentap.

2 comments: